Friday, January 21, 2011

Guru Oh Guru - 14 bermalam di hutan

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Demi menyelamatkan diri daripada dilibas dengan pedang samurai, 14 guru terpaksa bermalam dalam hutan paya bakau sambil ditemani nyamuk dan pacat selama 11 jam selepas seorang rakan sejawatan mereka secara tiba-tiba mengamuk.

Kejadian berlaku di kuarters kediaman guru di Kampung Sabur, Pulau Banggi, dekat Kudat, tengah malam kelmarin membabitkan 12 guru lelaki serta dua guru wanita yang baru ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur sejak sebulan lalu Sebelum bersembunyi di dalam hutan paya bakau di situ, kumpulan guru terbabit terpaksa melompat keluar dari kuarters guru setinggi dua meter selepas dikejutkan dengan hentakan pedang pada dinding rumah masing-masing.


Mereka terpaksa menyembunyikan diri akibat terlalu takut dan bagi mengelak daripada dicederakan guru yang mengamuk itu.

Seorang daripada guru terbabit yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu rumah mereka selain pekikan lelaki sedang mengamuk.


“Apabila saya buka pintu, saya terkejut melihat guru lelaki berusia 30 tahun itu mengamuk sambil melibaskan pedang samurai dan menghentak pedang pada dinding dan pintu rumah rakan saya.


“Saya terus mengejutkan tiga rakan lain dan melompat keluar dari rumah setinggi dua meter untuk melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berdekatan.

Ketika menyelamatkan diri, saya lihat beberapa guru lain termasuk perempuan turut melarikan diri ke hutan. Kami terpaksa bertarung dengan nyamuk, agas dan pacat dari tengah malam hingga jam 12 tengah hari keesokan hari.


“Sebelum melarikan diri, seorang kawan saya sempat mengambil telefon bimbit dan menghubungi polis tetapi polis hanya tiba kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, terdapat 18 guru dan lima kakitangan sokongan berkhidmat di sekolah berkenaan dengan kebanyakan berasal dari Semenanjung manakala jumlah murid seramai 190 orang.


Difahamkan, guru terbabit berasal dari Ranau dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. Dia dikatakan mengajar di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.


Beberapa hari sebelum kejadian, dia dikatakan kerap menengking sesiapa saja yang merenungnya, termasuk penduduk kampung yang kebanyakannya adalah nelayan.


“Kami kesal kerana anggota polis dari Balai Polis Banggi di pekan Karakit hanya tiba kira-kira 11 jam selepas menerima panggilan kecemasan. Mereka memberi alasan terpaksa meredah gelora,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen yang dihubungi, berkata guru terbabit ditahan di rumahnya tidak jauh dari sekolah itu pada hari sama.


“Ketika ditahan, suspek tidak melawan. Polis merampas senjata tajam daripadanya dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca guru terbabit mengamuk.


“Suspek direman empat hari bermula hari ini (semalam) dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan,” katanya.


Mengenai kelewatan anggota polis tiba di tempat kejadian, beliau berkata, angin kencang menyebabkan anggota polis dari Balai Polis Banggi terpaksa meredah ombak besar, menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

p/s: sbg seorg bakal guru, kena siap2kan mental n fizikal.. utk ke sana... yela.. bmbangnye rs... :(

No comments: